Thursday, May 7, 2009

Apa Alternatifnya ???


Jangan lihat cadangan potong tangan dari kaca mata agama


SAYA amat bersetuju dengan pandangan Syed Abdullah Osman Jamalullail berkenaan hukuman potong tangan bagi jenayah curi, samun dan rompak. Ketika kadar jenayah semakin meningkat di negara ini, kenapa cadangan ini tidak dipertimbangkan?

Sehubungan ini, saya amat menduga pandangan Edwin Michael yang menyifatkan cadangan itu sebagai keterlaluan dan tidak berperikemanusiaan.
Saya percaya bahawa Edwin Michael (jika benar beliau bukan Islam berdasarkan namanya) melihat cadangan itu dari kaca mata seorang bukan Islam terhadap sesuatu ciri perundangan Islam.

Dalam melontarkan cadangannya, Syed Abdullah tidak sedikit pun mengaitkan hukuman potong tangan itu sebagai perundangan Islam, sekalipun hukuman tersebut terdapat dalam undang-undang hudud dan tiada dalam kanun jenayah sivil. Disebabkan memandang sesuatu itu dengan prejudis agama, maka Edwin Michael begitu lekas menolak cadangan tersebut. Betapa beliau juga menyifatkan cadangan hukuman potong tangan sebagai sesuatu yang ‘tidak berperikemanusiaan.’ Hujah beliau itu jelas menunjukkan beliau mahu menjaga kepentingan penjenayah lebih daripada kepentingan umum dan mangsa-mangsa jenayah.
Tidakkah beliau sedar betapa banyak nyawa telah terkorban akibat perbuatan peragut yang keterlaluan untuk mendapatkan beg tangan atau dompet mangsa?
Betapa ada suami kehilangan isteri, anak kehilangan ibu dan ibu bapa kehilangan anak kerana nyawa mereka melayang akibat kemalangan yang berlaku setelah mereka ditolak atau ditikam oleh peragut.

Apakah Edwin Michael menganggap perbuatan sedemikian bukan sesuatu yang tidak berperikemanusiaan?
Jika perikemanusiaan menjadi hujah dalam menegakkan sesuatu perundangan, mengapakah tiada siapa yang membantah hukuman mati terhadap pengedar dadah? Bukankah hukuman mati lebih berat daripada potong sebelah tangan.
Dalam melaksanakan hukuman potong tangan, tidak semestinya itu menjadi pilihan mandatori bagi para hakim tanpa mengambil kira pelbagai faktor. Ada beza jika ia mandatori atau sekadar ‘boleh dihukum potong tangan.’
Saya seorang Islam, tapi dalam menyokong syor hukuman potong tangan ini, saya memberikan pandangan dari sudut hak asasi manusia yang menjadi mangsa.
Betapa jenayah ragut, curi dan rompak semakin meningkat, sekalipun penjenayah dihukum penjara dan sebat.

Malah Utusan Malaysia dalam berita muka depan pada 10 Oktober 2006 bertajuk Banduan dihukum 84 sebatan risau dibebaskan dengan jelas menunjukkan bahawa hukuman sebat pun gagal mencegah perompak daripada mengulangi perbuatannya sebanyak 39 kali.
Potong tangan lebih berperikemanusiaan kerana ia akan dapat menghalang penjenayah daripada melakukan lebih banyak perbuatan tidak berperikemanusiaan terhadap manusia-manusia lain.
Saya berharap Edwin Michael dan ramai lagi rakyat Malaysia yang bersikap sepertinya akan melihat cadangan ini tanpa sebarang prejudis agama.

Dan saya juga berharap orang-orang Islam tidak lekas melenting terhadap Edwin Michael kerana beralasan bahawa orang bukan Islam tidak berhak memberikan pandangan terhadap hukuman potong tangan.
Cadangan ini tidak berbau keagamaan, tapi perikemanusiaan dan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia yang diancam peningkatan jenayah, terutama ragut.Kita tidak boleh berbincang secara sihat dan rasional jika asyik melihat dengan kaca mata agama.

Faedah daripada pengurangan jenayah hasil hukuman potong tangan hendaklah dinikmati oleh semua manusia di Malaysia, tanpa mengira agama. Inilah yang patut diterangkan kepada bukan Islam. Apakah Edwin Michael menentang kerana dia juga mahu menjadi peragut? Atau ada adik-beradiknya yang menjadi peragut? Barangkali, jika ada anggota keluarganya yang cedera parah di kepala kerana ditolak peragut, barulah Edwin Michael akan melihat cadangan ini tanpa berat sebelah di sisi agama, tapi secara rasional dan sebagai manusia yang waras.

No comments:

Post a Comment